mutakhir

Alhamdulillah, Damia seronok berpuasa...

Oleh Mary Victoria Dass

“BIARPUN keadaannya belum pulih sepenuhnya, Damia menyatakan mahu berpuasa bersama saya dan suami. Alhamdulillah semalam dia dapat berpuasa setengah hari,” kata Siti Nor Hidayah Zulkepli.

Siti Nor Hidayah, 34, adalah ibu kepada Nur Qalesya Damia atau Damia, 8, kanak-kanak menghidap penyakit kelenjar sejak bayi hingga lidahnya tersembul keluar kira-kira lima hingga enam sentimeter sebelum ini.

Siti Nor Hidayah berkata, dia dan suami Mohd Rashid Jamil, 34, bersyukur dengan hasrat Damia yang juga anak sulung mahu berpuasa walaupun kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.

Menurutnya, walaupun bersemangat, Damia perlu memakan ubat pada waktu ditetapkan menyebabkannya hanya boleh berpuasa setengah hari.

“Semalam dia bangun sahur bersama saya dan suami, antara menu kegemarannya adalah nasi ayam dan pelbagai jenis kuih.

“Sekiranya keadaannya bertambah baik, mungkin Damia mampu melengkapi ibadah berpuasa dengan lebih sempurna pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini Damia masih belum bersekolah dan menjalani rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta di Johor Bahru.

Katanya, mereka bersyukur apabila Damia boleh menyambut Ramadan dalam keadaan lebih ceria kerana lidahnya semakin baik berbanding sebelum ini.

“Bengkak lidahnya sudah susut dan kini Damia lebih selesa ketika makan atau berbual.

“Kami berharap Ramadan ini membawa sinar kepadanya dan membantunya pulih seperti biasa, Damia rindukan sekolahnya dan tidak sabar bersekolah untuk belajar dan bertemu rakan,” katanya.

Menurutnya, pada 12 Mei ini, Damia mempunyai temu janji untuk bertemu doktor bagi menjalani pemeriksaan kesihatannya.

Katanya, buat masa ini keluarganya bergantung kepada wang disumbangkan orang ramai bagi menampung kos rawatan Damia sebagai pesakit luar.

“Kami yakin perkembangan baik Damia disebabkan rawatan diberikan selain pengambilan ubat disyorkan doktor Hospital Pakar Puteri Johor Bahru dan berkat doa rakyat Malaysia selama lebih sebulan lalu,” katanya.

Pada 25 Februari lalu, Harian Metro melaporkan Damia menderita akibat lidahnya tersembul keluar kira-kira lima hingga enam sentimeter sebelum ini.

Keadaan itu menyebabkan Damia menghadapi kesulitan untuk makan, bercakap dan terpaksa menggunakan jari untuk menolak makanan ke dalam mulut serta tidak mampu mengunyah, sebaliknya hanya menelan makanan diberikan.

Sebelum ini, Damia pernah menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan di hospital swasta serta dinasihatkan menjalani pembedahan, namun ia terpaksa ditangguh kerana keluarganya tidak mampu menyediakan wang berjumlah RM30,000.

Damia mengalami penyakit kelenjar sejak bayi dan pernah menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan di bahagian leher pada usia dua tahun.

Bahagian lehernya kekal bengkak selepas pembedahan itu dan lebih malang sejak dua lalu lidahnya pula membengkak dan tersembul.

Lidah Damia mula membengkak selepas seorang rakan sekolahnya dipercayai terlanggar pada bahagian leher.

Sejak hampir tiga bulan lalu, keluarganya mengambil keputusan tidak menghantar Damia ke sekolah atas faktor kesihatannya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan bagi menampung rawatan Damia menerusi akaun Maybank ibunya, 151276050894 atau menghubungi 019-7943850.

Berita berkaitan

'Syukur, Damia mampu gerakkan lidah'

'Rindu nak sekolah, jumpa kawan - Damia [METROTV]'

'Mohon doa untuk Damia'

'Beratnya ujian mu, Damia...[METROTV]'

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 9:18pm
d