mutakhir

Mayat lelaki mungkin pakcik Ramli

Oleh Norizuan Shamsuddin

MAYAT lelaki disyaki ada kaitan dengan warga emas, Ramli Ilong, 85, yang hilang sejak 6 Mei lalu, ditemui di lereng bukit dekat Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Mangsa yang dipercayai terjatuh di lereng itu lebih seminggu lalu, ditemui orang awam yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Anak Ramli, Rashida Ramli, 56, berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai penemuan mayat terbabit.

“Berdasarkan pakaian iaitu baju Melayu kuning dan seluar gelap yang ditemui pada mayat, kami percayai ia adalah ayah kerana itulah pakaian yang dipakai sebelum hilang.

“Bagaimanapun, mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) dan kami diminta hadir petang ini untuk pengecaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan itu yang ada kaitan dengan warga emas yang dilapor hilang sejak sebelas hari lalu.

“Mayat sudah dihantar ke HSB untuk bedah siasat dan ujian DNA akan dilakukan bagi mengenal pasti identiti mangsa.

“Malah, kita juga sudah meminta keluarga Ramli Ilong yang hilang bagi pengecaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan Ramli, yang menghidap darah tinggi dan dementia hilang selepas keluar dari kediaman anaknya di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.

Berita berkaitan

'Tolong kami cari ayah...'

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 3:07pm
d