mutakhir

Baju Melayu pengubat rindu

Oleh Ramli Ibrahim

“HANYA baju Melayu anak menjadi pengubat rindu,” kata ibu kepada Adnan Che Soh, 29 yang dihanyutkan arus Sungai Nenggiri di Gua Musang, dua tahun lalu.

Che Minah Yaacob, 64, berkata, setiap kali menjelang Aidilfitiri, dia mengakui kerinduan terhadap anak bongsu daripada lapan beradik itu semakin kuat.

“Dialah yang menemani hidup mak cik bersama suami kerana tujuh lagi anak yang lain sudah berumah tangga dan tinggal berasingan.

“Setiap kali menjelang Aidilfitri, arwah paling sibuk membantu ibu bapa mengemas dan membersih rumah.

“Ketika mak cik teringatkan arwah, sepasang baju Melayu yang dibeli sebelum tragedi itu menjadi pengubat rindu,” katanya ketika ditemui di Kampung Prak, dekat Gua Musang, hari ini.

Menurutnya, dia bagaimanapun menerima takdir Allah bahawa anaknya itu sudah meninggal dunia biarpun tidak berkubur.

“Kalau ada kubur seperti orang lain bolehlah mak cik pergi ziarah untuk menghilang rindu. Bagaimanapun, mak cik reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Dalam kejadian 9 pagi, 23 Januari 2017 itu, motosikal yang ditunggang Adnan melanggar belakang motosikal lain di atas jambatan sementara Kampung Pulau Setelu sebelum terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras.

Sehingga ini, mayat Adnan masih belum ditemui.

Berita berkaitan

Terjatuh dari jambatan selepas kemalangan

Perluas kawasan cari lelaki hanyut

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 12:05pm
d