mutakhir

[UPDATE] Penembak monyet tinggal di Sitiawan?

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung tidak menerima laporan berhubung pemuda yang diburu susulan rakaman video menunjukkan tindakan kejamnya menembak monyet yang tular sejak beberapa hari lalu dikatakan berasal dari Kampung Serdang, Sitiawan, Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, setakat ini pihaknya tiada maklumat berkaitan dakwaan pelaku video berkenaan tinggal di Sitiawan.

“Tiada laporan atau maklumat diterima dan untuk mengatakan (lelaki yang menembak monyet itu) tinggal di Sitiawan itu kita tidak dapat pastikan lagi setakat ini.

“Bagaimanapun, jika ada sebarang maklumat boleh maklumkan kepada kami kerana individu itu sedang dikesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan sebuah portal memetik sumber yang mendakwa mengenali lelaki terbabit dan memaklumkan pelaku berasal serta tinggal di Kampung Serdang, Sitiawan dan monyet ditembaknya itu adalah milik majikan lelaki itu.

Harian Metro semalam melaporkan, polis akan mengesan lelaki yang menembak monyet menggunakan pistol yang tular di media sosial.

Video berdurasi 19 saat itu memaparkan lelaki itu menembak monyet gara-gara tidak memanggilnya ‘Baby sayang’ sehingga mengundang kecaman netizen yang mengutuk kejadian itu.

Lelaki itu meminta monyet berkenaan memanggilnya ‘Baby sayang’ sebelum menembak haiwan itu selepas kiraan tiga malah sempat menunjukkan kesan darah di situ.

Susulan itu polis kini mengesan lelaki terbabit dan berdasarkan rakaman yang tular itu, lelaki itu melanggar dua peraturan iaitu penyalahgunaan senjata api dan membunuh binatang.

Ganjaran RM2,000 juga ditawarkan Persatuan Haiwan Malaysia kepada individu yang mempunyai maklumat sehingga tertangkapnya pelaku terbabit.

Berita berkaitan

Polis siasat kejadian tembak monyet

Belum dapat maklumat jelas

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 4:36pm
d