mutakhir

Almarhum pembela anak seni

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

“SAYA bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menziarahi Tuanku ketika baginda gering, malam kelmarin dan membacakan surah Yassin untuk baginda.

“Saya berada di sisi baginda sehingga pagi semalam sebelum pulang dan 20 minit selepas tiba di rumah, saya terima berita kemangkatan baginda,” kata pelakon dan usahawan, Datuk Seri Shah Rezza.

Menurutnya, kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah memberi kesan yang besar kepada dirinya dan juga rakan artis kerana baginda seorang Sultan yang begitu menghargai penggiat seni tanah air.

Katanya, Almarhum seorang raja yang berjiwa rakyat dan sentiasa mengambil berat kebajikan semua golongan termasuklah artis.

“Jika ada kisah artis yang sakit atau mengalami kesusahan sampai ke pengetahuannya, baginda akan menjadi antara individu pertama menghulurkan bantuan dan sumbangan.

“Baginda tidak pernah memandang rendah kepada golongan artis, malah sering beramah mesra dan bertanya khabar setiap kali bertemu,” katanya ketika ditemui selepas memberi penghormatan terhadap Almarhum di Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.

Shah Rezza berkata, keperibadian Almarhum yang mesra dan mengambil berat membuatkan artis selesa dengannya, malah baginda langsung tidak kekok apabila dijemput untuk mencemar duli menghadiri majlis yang berkaitan dunia seni.

“Apabila kita menjemput baginda untuk menghadiri apa juga majlis atau program, baginda tidak segan untuk ‘masuk’ ke dalam kelompok kami sekali gus meletakkan kami ke satu tahap dan kami lebih bangga.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan baginda adalah pembela anak seni yang sentiasa memberi penghargaan kepada kami,” katanya.

Beliau berharap hubungan baik Istana Pahang dengan penggiat seni dapat diteruskan dan tidak terhenti dengan kemangkatan baginda.

Sementara itu, pelakon kelahiran Singapura, Aaron Aziz berkata, Almarhum sangat dekat dengan golongan seni dan tidak pernah mengenepikan mana-mana artis walaupun bukan anak kelahiran Pahang.

“Saya sangat terperanjat dengan perkhabaran ini dan sepatutnya saya pulang ke Singapura pagi tadi tetapi, mengenangkan jasa Tuanku kepada industri, saya datang ke sini untuk berikan penghormatan terakhir.

“Tuanku seorang yang sangat merendah diri dan buat kita macam anak-anak dia sendiri. Saya seorang yang bertuah dapat mengenali Tuanku kerana bukan semua orang berpeluang rapat dengan Almarhum,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 1:51pm
    d