mutakhir

Suspek tembak monyet bebas jaminan polis

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

DUA beranak yang ditahan susulan rakaman video menunjukkan tindakan kejam seorang lelaki menembak monyet yang tular di media sosial dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, dua beranak terbabit akan dibebaskan petang ini selepas semua proses dokumentasi dan rakaman percakapan selesai.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan hampir lengkap, namun kertas siasatan perlu dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Dua beranak berkenaan akan diberi jaminan polis sehingga mendapat arahan tuduh dari Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi dari Manjung, hari ini.

Razarudin berkata, siasatan polis di lokasi kejadian berjaya menemui semula sangkar monyet berkenaan dalam sungai terbabit dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Bagaimanapun, sehingga kini polis masih belum menemui bangkai monyet terbabit dan sangkar itu adalah perangkap monyet liar.

“Haiwan yang ditembak itu adalah monyet liar yang terjerat masuk perangkap berkenaan dan boleh dikatakan motif kejadian adalah untuk menghapuskan monyet liar, namun suspek menggunakan pendekatan yang salah dalam tindakannya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, dua beranak berkenaan ditahan di rumah mereka di Taman Kenangan, Sitiawan, pada 9.20 malam, Rabu lalu.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu bersama bapanya yang berusia 54 tahun direman empat hari hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Tangkapan itu susulan penularan video berdurasi 19 saat yang memaparkan lelaki berkenaan menembak monyet gara-gara tidak memanggilnya ‘Baby sayang’ sehingga mengundang kecaman netizen yang mengutuk kejadian itu.

Lelaki itu meminta monyet berkenaan memanggilnya ‘Baby sayang’ sebelum menembak haiwan itu selepas kiraan tiga malah sempat menunjukkan kesan darah di situ.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Suka-suka tembak monyet' [METROTV]

Lelaki tembak monyet ditahan

Lelaki tembak monyet diburu polis, PERHILITAN

[UPDATE] Penembak monyet tinggal di Sitiawan?

Polis siasat kejadian tembak monyet

Belum dapat maklumat jelas

Disiarkan pada: May 26, 2019 @ 1:26pm
d