mutakhir

Pantau sumber air Orang Asli

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PEMANTAUAN air perlu dilaksanakan secara lebih kerap dan menyeluruh di semua lokasi penempatan Orang Asli (OA) di seluruh negara.

Pengerusi Koperasi Orang Asli Negeri Pahang Berhad Datuk Nor Shabudin Monir berkata, hasil kajian mengenai sumber air di penempatan OA di sekitar Pahang dilakukan pihaknya turut mendapati ia berada pada tahap negatif.

“Penempatan baharu yang dipilih mereka (OA) terletak berdekatan sumber air termasuk bekas kawasan pelombongan bijih timah, besi dan emas.

“Jika ia membabitkan kawasan bekas lombong, bahan kimia ammonia yang digunakan untuk mencuci emas dan bijih besi sebelum ini dikhuatiri masih ada kerana ia tidak larut.

“Ia sekali gus menjadi punca berlaku keracunan selepas menggunakan sumber air berkenaan,” katanya di Shah Alam, hari ini.

Beliau mengulas insiden 13 Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang meninggal dunia dalam tempoh sebulan bermula sejak Mei lalu.

Nor Shabudin berkata, tindakan OA yang gemar berpindah randah antara faktor mereka terdedah dengan keracunan air.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan kempen kesedaran air bersih dan memberi pam air bagi memastikan bekalan air bersih diterima OA.

“Isu keracunan air bukan hanya berlaku di Pahang malah hampir di setiap penempatan OA di seluruh negara dan pemantauan lebih kerap perlu dilakukan oleh pihak berkaitan.

“Apabila kami ke kawasan penempatan mereka, ramai mengadu mengalami masalah keracunan namun enggan mendapatkan rawatan perubatan di bandar.

“Mereka masih lebih gemar berubat secara tradisional,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Taufik Maidin dipetik berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada Orang Asli membabitkan jangkitan kuman di paru-paru atau ‘Pneumonia’.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, kematian Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, disebabkan jangkitan kuman di saluran pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Disiarkan pada: June 9, 2019 @ 3:53pm
    d