mutakhir

Orang Asli suku Batek perlu dipindahkan

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

PERTUBUHAN Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menggesa agensi berkaitan memindahkan semua penduduk Orang Asli suku Batek di Kuala Koh ke lokasi lebih selamat.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, ini kerana tempat yang mereka diami ketika ini sangat kotor dan menyedihkan selain perlu bergantung sumber air sungai yang dipercayai tercemar.

Beliau berkata, tindakan segera perlu dilakukan bagi mengelakkan lebih ramai kematian akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

“Kita melihat ramai kanak-kanak yang sakit dan persekitaran tempat tinggal mereka di kawasan hutan juga sungguh kotor selepas berpindah dari perkampungan Orang Asli Kuala Koh.

“Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan jabatan tertentu harus pindahkan semua penduduk kerana keadaan mereka agak teruk ketika ini, selain memerlukan bekalan air bersih,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Koh, semalam.

Akhbar hari ini melaporkan pencemaran air bukit dan anak sungai Lebir dekat Kampung Kuala Koh dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan bijih manganese atau keluli menyebabkan kematian 14 penduduk Orang Asli suku Batek, setakat ini.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pihaknya akan melakukan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar supaya tidak hanya membuat tuduhan semata-mata.

Beliau berkata, sampel air juga sudah diambil bagi menentukan sama ada ia tercemar hasil daripada aktiviti perlombongan atau sebaliknya.

Shariffa berkata, beliau percaya pencemaran berlaku ketika hujan lebat selepas air dari kawasan perlombongan yang tercemar dengan bahan kimia mengalir ke sungai yang menjadi sumber air kepada Orang Asli.

“Orang Asli ini bergantung kepada sungai kerana itu antara sumber utama mereka untuk minum, makan dan mandi.

“Saya rasa keadaan ini sudah lama berlaku memandangkan aktiviti perlombongan bijih keluli sudah beroperasi sejak 2016, cuma kita tidak tahu sejauh mana seriusnya pencemaran sungai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 12:25pm
    d