mutakhir

Polis akan kesan kubur Orang Asli

Oleh Ramli Ibrahim

POLIS akan menjalankan operasi mengesan 12 kubur Orang Asli Kampung Kuala Koh, Gua Musang, yang dikatakan dikebumikan mengikut adat suku kaum Batek, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi itu bermula esok membabitkan 30 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang.

Katanya, selain itu, penghulu Orang Asli di kampung berkenaan juga akan membantu operasi mengesan kubur itu.

“Operasi mengesan 12 kubur Orang Asli itu dijalankan bagi memudahkan siasatan berkaitan punca sebenar kematian mereka.

“Apabila kubur itu ditemui, ia akan digali semula dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan dari udara Kampung Kuala Koh di samping meneliti sungai yang didakwa tercemar kesan aktiviti perlombongan.

Beliau berkata, setakat ini polis hanya mengesahkan dua kematian Orang Asli berpunca jangkitan kuman di saluran pernafasan dan paru-paru selepas dibedah siasat.

“Bagi 12 kematian yang dilaporkan sebelum ini, maklumat itu hanya diperoleh daripada Orang Asli kampung terbabit saja.

“Walaupun begitu, kita tidak boleh memandang ringan dan perlu ada siasatan secara terperinci,” katanya.

Berhubung dakwaan berlaku pencemaran sungai, beliau berkata, perkara itu akan disiasat.

“Kita akan tengok dulu dan jika ada unsur-unsur pencemaran sungai berpunca daripada perlombongan bijih besi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Disiarkan pada: June 10, 2019 @ 5:39pm
    d