mutakhir

[UPDATE] Kuala Koh diisytihar zon merah [METROTV]

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin dan RamliIbrahim

POLIS mengisytiharkan Perkampungan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang sebagai zon merah susulan kematian 14 penduduk di kampung itu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, sekatan jalan di Aring 10 adalah sebagai kawalan yang bukan hanya untuk penduduk Orang Asli yang tinggal di kampung itu tetapi menghalang kemasukan orang awam dan pegawai daripada pelbagai agensi.

“Hanya pegawai agensi kerajaan khas yang terbabit dalam operasi pencarian 12 kubur Orang Asli dibenarkan masuk ke kawasan kampung terbabit selebihnya dihalang.

“Antara agensi yang dibenarkan termasuk polis forensik serta anggota operasi bagi pencarian mayat Orang Asli yang ditanam secara adat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Taufik berkata, pemeriksaan ketat turut dijalankan terhadap kenderaan yang memasuki kampung terbabit.

Ditanya sama ada pencarian kubur Orang Asli sudah dijalankan, beliau berkata, operasi itu mungkin tidak bermula lagi hari ini atas sebab tertentu.

Akhbar hari ini melaporkan polis memerlukan masa untuk mengesan 12 kubur Orang Asli suku kaum Batek Kampung Kuala Koh yang dikatakan dikebumikan secara adat baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya difahamkan oleh keluarga mangsa, ahli keluarga mereka itu dikebumikan di kawasan hutan yang jauh dari perkampungan mereka mengikut adat.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Disiarkan pada: June 12, 2019 @ 2:30pm
    d