mutakhir

Haziq Abdullah digantung tugas serta-merta

Oleh Hairulazim Mahmud

“SAYA bingung,” itu reaksi Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengenai penyebaran video lucah yang didakwa ada kaitan dengan Setiausaha Sulit Kanannya, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Berikutan itu katanya, Haziq Abdullah digantung daripada melakukan tugas rasmi serta-merta.

“Beliau juga diarahkan menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari dari tarikh semalam, jika gagal kementerian tidak teragak-agak menamatkan kontrak perkhidmatannya serta-merta.

“Beliau juga didapati ‘ponteng’ kerja sejak Selasa lalu, kita pun tak tahu dia di mana.

“Saya ada mesej melalui WhatsApp kelmarin berkaitan isu ini tapi tidak berjawab,” katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Sidang media itu diadakan berikutan kontroversi pendedahan dan pengakuan Haziq Abdullah kelmarin berkaitan penyebaran video lucah yang didakwa mirip Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama seorang lelaki di sebuah bilik hotel.

Namun, seorang lelaki mengaku dia adalah Haziq di dalam video berkenaan menerusi hantaran di Facebook awal pagi kelmarin.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan pembabitannya dalam video berkenaan sambil menganggap ia tuduhan jahat dan kejam.

Haziq melalui Facebooknya hari ini sekali lagi mengulangi dakwaannya itu.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata, keluarga Haziq turut bersedih dengan kontroversi itu.

Katanya, pihaknya sudah menghubungi keluarga terbabit dan meminta mereka bertenang berdepan dengan situasi ketika ini.

Sementara itu beliau berkata, pelantikan Haziq sebagai pegawai kementerian itu dibuat secara profesional.

“Sepanjang bertugas sejak enam bulan lalu, dia tidak nampak tanda atau bersikap pelik seperti ‘golongan itu’.

“Justeru tindakan beliau ini sangat mengejutkan dan tentunya tidak diduga,” katanya.

Ditanya tindakan selanjutnya jika kementerian berpuas hati dengan jawapan surat tunjuk sebab itu, beliau berkata:

“Kita tengok dulu surat dia nanti.”

Berita berkaitan:

  • Polis buka kertas siasatan
  • Saya kenal dari jauh - Mohamed Azmin
  • Setiausaha Politik Mohamed Azmin buat laporan polis
  • 'Saya tak rasa ia benar'
  • Azmin nafi terbabit video lucah
  • 'Saya tak tau apa pun...'
  • Disiarkan pada: June 13, 2019 @ 5:24pm
    d