mutakhir

Dalang penyebaran video lucah dicari

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan Jawatankuasa Jenayah Siber yang dianggotai bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menggerakkan jawatankuasa teknikalnya bagi menyiasat dalang penyebaran video lucah membabitkan menteri kanan kerajaan, baru-baru ini.

Pengerusinya Al Ishsal Ishak berkata, jawatankuasa teknikal yang diwujudkan di bawah Jawatankuasa Jenayah Siber itu mula menjalankan tugas itu sejak Selasa lalu bagi menyiasat dan mengumpul fakta mengenai kes berkenaan.

Beliau berkata, isu berkenaan sudah menjadi keutamaan pihaknya sejak 72 jam yang lalu malah, jawatankuasa sama turut menyiasat kesahihan dan ketulenan video yang tersebar itu.

“Buat masa ini, kami tidak boleh mendedahkan apa-apa perkembangan mengenai siasatan kes berkenaan dan ia diklasifikasikan sebagai rahsia dan sulit.

“Siasatan mula digerakkan sejak 72 jam lalu bermula Selasa lalu selepas kami mula menerima laporan dan aduan mengenainya.

“Ia akan diselesaikan dengan secepat mungkin dan kami sedang bekerja keras ke arah itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani ikrar mesra pelanggan antara syarikat telekomunikasi di Cyberjaya, hari ini.

Katanya, memandangkan kes berkenaan sangat dekat dengan rakyat justeru, SKMM dan PDRM akan melakukan siasatan menyeluruh bagi mengelak kesan kepada pengguna dan keselamatan negara.

Al Ishsal berkata, pasukan daripada jawatankuasa sama juga akan membantu bagi menyiasat kesahihan serta ketulenan video berkenaan.

“Kami (SKMM) akan memberi bantuan teknikal sewajarnya untuk membantu siasatan kes itu. Ia kerja yang penat buat kami sejak 72 jam yang lalu,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap agar keputusan siasatan yang akan dicapai kelak akan mendedahkan segala-galanya.

Al Ishsal berkata, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak menyebarkan maklumat dan kandungan yang tidak sahih dan sah.

“Kita sebagai rakyat Malaysia pasti tidak mahu hidup dalam keadaan sebegini. Ia bukan perkara yang elok untuk negara memandangkan kita hidup dalam pelbagai kaum dan agama.

“Tambahan lagi, sekarang ini bulan Syawal yang mana kita harus maaf memaafi,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberi jaminan, pihaknya tidak akan menyembunyikan sebarang fakta berhubung siasatan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri itu.

Menurutnya, ketika ini, siasatan diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, susulan beberapa laporan yang diterima mengenai perkara itu.

Selasa lalu, negara digemparkan dengan penyebaran video lucah yang didakwa mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama seorang lelaki di bilik hotel.

Namun, seorang lelaki mengaku sebagai Muhammad Haziq Abdul Aziz, 27, di dalam video berkenaan menerusi hantaran di Facebook.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan pembabitannya dalam video berkenaan sambil menganggap ia tuduhan jahat dan kejam.

Berita berkaitan:

  • SKMM sedia bantu siasatan - Gobind
  • Hindari sebarang bentuk fitnah- Mufti WP
  • Hilman nafi tuduhan Haziq
  • Haziq dakwa diugut setiausaha politik Mohamed Azmin
  • Haziq Abdullah digantung tugas serta-merta
  • Polis buka kertas siasatan
  • Saya kenal dari jauh - Mohamed Azmin
  • Setiausaha Politik Mohamed Azmin buat laporan polis
  • 'Saya tak rasa ia benar'
  • Azmin nafi terbabit video lucah
  • 'Saya tak tau apa pun...'
  • Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 2:35pm
    d