mutakhir

Penyakit misteri diketahui dua hari lagi

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PENYAKIT misteri yang dikatakan menyebabkan kematian penduduk Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang baru-baru ini akan diketahui dalam tempoh dua hari lagi.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, sampel daripada mangsa yang meninggal dunia dan dirawat sudah dihantar ke Jabatan Kimia, Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur; Makmal Kesihatan Sungai Buloh serta Makmal Kesihatan Awam di Perol, Kota Bharu.

Beliau berkata, kajian itu dibuat bagi mengenal pasti punca dan jenis virus yang menjadi penyebab 14 kematian.

“Penyakit ini yang dikatakan misteri tidak akan menjadi misteri lagi kerana kita akan tunggu keputusan dari Institut Penyelidikan Perubatan Sungai Buloh yang akan dihantar dalam masa dua hari.

“Apa saja keputusan nanti, Kementerian Kesihatan akan membuat kenyataan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, buat masa ini, secara keseluruhan keadaan wabak yang menyerang penduduk menunjukkan trend penurunan apabila pesakit semakin sembuh.

“Ketika ini, 49 Orang Asli masih dirawat di Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai (HKK) manakala lima lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan empat lagi di HKK,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Disiarkan pada: June 14, 2019 @ 4:24pm
    d