mutakhir

Budak 3 tahun mangsa ke-15 meninggal dunia

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

ORANG Asli suku Batek, Nasri Rosli, 3, yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di Kota Bharu, meninggal dunia 6 petang semalam.

Kematian kanak-kanak itu menjadikan 15 kematian Orang Asli dari Kuala Koh, Gua Musang dipercayai akibat jangkitan radang paru-paru.

Mangsa sebelum ini dirawat di Bilik Asingan Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik HRPZ II sejak lapan hari lalu dalam keadaan tenat dan menggunakan alat sokongan pernafasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkata, beliau menerima berita sedih bahawa kanak-kanak Orang Asli berusia tiga tahun dari Kampung Kuala Koh, meninggal dunia di HRPZ II, petang semalam.

“Unit Forensik hospital akan melakukan bedah siasat pada hari ini untuk mengesahkan sebab kematian.

“Jumlah keseluruhan mangsa Orang Asli dari Kuala Koh, yang meninggal dunia adalah 15 orang.

“Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menghulur dan menguruskan bantuan kepada keluarga adik Nasri. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga adik Nasri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli Edo berkata, pihaknya menerima berita itu pada 8.30 malam tadi yang disampaikan oleh pihak hospital.

Akhbar sebelum ini melaporkan 14 Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 11:00am
    d