mutakhir

Nasri meninggal kerana demam campak

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan kanak-kanak lelaki Orang Asli berusia tiga tahun meninggal dunia akibat wabak measles atau demam campak.

Kanak-kanak berkenaan, Nasri Rosli, 3, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, pada 6.45 petang semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, serangan virus campak diikuti dengan jangkitan bakteria sekunder bakteria menjadi punca kematiannya.

Katanya, serangan sekunder bakteria yang teruk itu menyebabkan kejutan septik yang akhirnya membawa kepada kegagalan fungsi organ tubuh.

“Mayat kanak-kanak berkenaan akan dibedah siasat di Hospital Gua Musang dijangka petang ini.

“Bedah siasat akan dijalankan Ketua Jabatan Forensik negeri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Nasri dirawat di HRPZ II sejak lapan hari lalu.

Keadaan kanak-kanak itu kritikal sejak dari hari mula-mula dirujuk dan tidak sedarkan diri serta menggunakan alat bantuan pernafasan.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Disiarkan pada: June 17, 2019 @ 3:28pm
    d