mutakhir

Angkara aksi 'wheelie'

Oleh Nor Farhani Che Ad

AKSI ‘wheelie’ yang dilakukan penunggang motosikal sehingga mengakibatkan kemalangan dengan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun menjadi punca kemarahan penduduk dalam insiden pergaduhan di Flat Paya Nahu, di Sungai Petani, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, tidak timbul isu perkauman seperti yang tular di media sosial berhubung kejadian itu sebaliknya ia berlaku secara tidak sengaja.

“Asalnya, ia bermula dengan kejadian kemalangan yang mana sebelum itu motosikal terbabit yang dinaiki oleh dua remaja dikatakan ditunggang secara berbahaya.

“Akibat marah dengan kejadian yang berlaku, penduduk mengambil tindakan sendiri dengan menarik motosikal terbabit dan memukul remaja berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa kejadian di rumah mangsa, di Sungai Petani, hari ini.

Adzli berkata, keadaan menjadi lebih tegang apabila beberapa individu campur tangan tanpa usul periksa sehingga mencetuskan pergaduhan.

Bagaimanapun katanya, pihak polis berjaya mengawal keadaan dan menahan tujuh lelaki berusia 14 sehingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

“Lima daripadanya ditahan reman selama empat hari sehingga esok, manakala dua suspek bawah umur sudah pun diberi jaminan polis,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya berhenti menyebarkan video insiden terbabit yang boleh meresahkan masyarakat.

“Saya juga menggesa masyarakat supaya tidak mengambil tindakan sendiri atas apa jua kejadian yang berlaku, serah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berlandaskan undang-undang sedia ada,” katanya.

Dalam kejadian 5 petang itu, kanak-kanak perempuan terbabit cedera di muka, tangan dan kaki akibat kemalangan, manakala, seorang lelaki berusia 45 tahun cedera di kepala berikutan kejadian pergaduhan yang berlaku.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan di kawasan perumahan itu dengan membuat rondaan dengan lebih kerap.

“Malam ini kita akan mengadakan dialog bersama penduduk dalam usaha mengubah keadaan di sini yang berhadapan dengan pelbagai masalah jenayah seperti dadah dan sebagainya,” katanya.

Berita berkaitan

7 lelaki ditahan cetus pergaduhan

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 12:12pm
d