mutakhir

[UPDATE] Gaduh lah lagi... [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

PADAH bergaduh di restoran makanan segera minggu lalu, empat lelaki masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Khas Trafik Kuantan, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Syamil Muhaimin Ahmad Rizal, 20, Muhammad Haziq Aiman Zamani, 20, Afif Shuhairi, 20, dan Muhammad Luqman Hakim Aminullah, 19, sebelum itu terlebih dahulu membuat pengakuan bersalah.

Majistret Nor Izzati Zakaria turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda itu.

Seorang lagi tertuduh, Ahmad Tarmizi Othman, 19, dari Perkampungan Sungai Isap 2, Kuantan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bergaduh beramai-ramai di restoran McDonalds di Sungai Isap pada 19 Jun lalu, 1 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ker Qi En dan hanya Ahmad Tarimizi sahaja diwakili peguam Mohd Saifuldin Ab Rahman.

Ketika mengemukakan rayuan, keempat-empat tertuduh memohon supaya hukuman ke atas mereka diringankan dan Muhammad Syamil Muhaimin serta Muhammad Haziq Aiman memberi alasan mereka hanya bekerja sebagai pekerja am di Pelabuhan Kuantan dengan pendapatan RM1,300 sebulan, manakala Afif dan Muhammad Luqman Hakim memaklumkan mereka masih belajar dan ditanggung oleh keluarga.

Ahmad Tarmizi menerusi peguamnya juga memohon jaminan terhadapnya dikurangkan sebelum mahkamah membenarkan Ahmad Tarmizi diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 11 Julai depan untuk sebutan semula.

Berdasarkan fakta kes, pada 18 Jun lalu, 8 malam, pengadu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai bapa saudara kepada bekas tunangnya dan memaklumkan mahu berjumpa dengannya.

Pada 19 Jun kira-kira 1 pagi ketika pengadu bersama dua rakannya menunggu di perkarangan restoran McDonalds Sungai Isap, mereka didatangi 12 individu yang menaiki tiga kereta.

Seorang daripada kumpulan individu itu bertanyakan nama pengadu sebelum bertindak menumbuk muka dan menendang pinggang pengadu.

Rakan pengadu turut dipukul sebelum pergaduhan itu dileraikan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian. Pengadu kemudiannya membuat laporan polis sejurus kejadian itu.

Berita berkaitan

Penuntut dibelasah sekumpulan lelaki

[UPDATE] Gaduh sebab perempuan rupanya... [METROTV]

Disiarkan pada: June 25, 2019 @ 12:20pm
d