mutakhir

Masih tiada bukti Liaoning di perairan negara

Oleh Iqhram Ahmad

SETAKAT ini tiada laporan serta bukti kapal induk Tentera Laut China, Liaoning berada di perairan negara.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan sah berhubung kapal induk terbabit.

“Saya ada menerima laporan terbabit daripada pihak luar, tetapi laporan itu tiada bukti bergambar yang menunjukkan perkara itu benar berlaku.

“Jika ianya benar berlaku dalam perairan kita, kapal TLDM memang sudah berada di situ. Jadi kalau jumpa, laporan mengenai perkara itu mesti sampai kepada saya,” katanya kepada media pada Majlis Aidilfitri Markas Tentera Laut di KD Sri Gombak, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, terdapat laporan media antarabangsa serta gambar satelit yang tular mengenai kapal induk itu berada berhampiran Laut China Selatan.

Sementara itu, Mohd Reza berkata, pihak TLDM meminta orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen yang mendakwa TLDM tidak melakukan rondaan di perairan negara susulan kes bot nelayan tempatan ditahan sebuah kapal Pengawas Perikanan Indonesia di Pulau Jarak, Lumut, Jumaat lalu.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan agensi maritim lain terutama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam melakukan pemerhatian di sepanjang perairan negara serta menjaga kedaulatan negara.

“Walaupun pihak TLDM ini tidak ‘perfect,’ kami tetap melakukan sesuatu sebaik mungkin. Kerjasama yang dilakukan bersama agensi lain mampu mencapai sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Tiada bukti
  • Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 5:11pm
    d