mutakhir

[UPDATE] Mayat bertopi keledar sah mangsa kemalangan

Oleh Recqueal Raimi

POLIS Tuaran mengesahkan mayat yang ditemui dalam keadaan memakai topi keledar di Sungai Tuaran berhampiran Kampung Bantayan, Tamparuli, Jumaat lalu, adalah disebabkan kemalangan motosikal.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim ketika dihubungi berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal melalui Jambatan Lama Tamparuli.

Bagaimanapun katanya, mangsa dipercayai terjatuh ketika menunggang motosikal di laluan berkenaan.

“Mangsa dipercayai hilang kawalan dan terjatuh sebelum dihanyutkan arus sungai sejauh tiga kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

“Pihak polis akan mengesan kenderaan motosikal yang digunakan mangsa. Selain itu, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, masyarakat daerah ini diminta tidak membuat spekulasi bagi mengelakkan kebimbangan menular dalam kalangan penduduk sekitar.

Katanya, setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa, Walter Jaimis Charles, 46, berasal dari Kampung Kotunuan Baru, Kiulu ditemui sekumpulan pemancing, di tepi Sungai Tuaran.

Mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan tertiarap di sungai berkenaan bagaimanapun menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai.

Difahamkan, mendiang akan dikebumikan hari ini, di Tanah Perkuburan Kristian di Kampung Kotunuan Baru, Kiulu.

Berita berkaitan

Jumpa mayat ketika memancing

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 2:13pm
d