mutakhir

Kematian ke-16 wabak campak [METROTV]

Oleh Idris Musa

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan satu kematian membabitkan seorang wanita Orang Asli yang dijangkiti wabak measles di Hulu Terengganu, semalam.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, wanita berusia 39 tahun itu dirawat di Wad Isolasi Hospital Hulu Terengganu sejak 29 Jun lalu, disahkan dijangkiti measles melalui ujian makmal.

“Malangnya pada 7 Julai lalu, keadaan kesihatan beliau menjadi tidak stabil dan mengalami sesak nafas.

“Dia seterusnya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut namun, kemudian meninggal dunia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Latihan Simulasi dan Kemahiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan Datuk Mohd Syafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Perubatan Datuk Dr Rohaizat Yon dan Pengarah HKL Dr Heric Coray.

Pusat latihan bernilai RM25.6 juta itu adalah yang terbesar di Malaysia dan paling lengkap di rantau Asia.

Ia dapat membantu meningkatkan kecekapan pengamal perubatan dan keselamatan pesakit, membolehkan pelatih menjalani latihan dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan.

Sementara itu, mengulas kejadian pelajar sesak nafas di Pasir Gudang, Johor, Dr Dzulkefly berkata, sehingga jam 8 pagi hari ini, kumulatif kes berkenaan seramai 1,138 orang.

“Satu kes baharu dilaporkan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Masai, Johor Bahru. Namun tiada lagi kes yang berada di dalam wad,” katanya.

Berita berkaitan

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 6:39pm
    d