mutakhir

Kiblat tersasar: Tak perlu qada solat

Oleh Suraya Roslan

INDIVIDU yang kiblatnya tersasar tidak perlu menggantikan solat mereka walaupun dalam Islam menghadap kiblat adalah salah satu daripada syarat sah solat.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, individu yang solat selepas berijtihad (yakin) mengenai arah kiblat, kemudian pada waktu solat seterusnya dia yakin arah kiblatnya berubah, kedua-dua waktu adalah sah dan tidak perlu diulang.

“Bagaimanapun, seseorang yang berijtihad kiblatnya salah dan menunjukkan arah kiblat yang betul, solatnya yang pertama adalah sah dan tidak perlu diulang dan wajib solat seterusnya dia mengikuti ijtihad yang baharu.

“Selain itu, dalam sesuatu perkara seseorang individu tidak diwajibkan menggantikan solat sekiranya jumlah waktu solat yang tertinggal itu terlalu banyak sehingga mendatangkan kesukaran,” katanya.

Beliau mengulas mengenai hampir 40 peratus daripada 1,000 rumah yang diperiksa di sekitar Selangor terpesong arah kiblat antara satu hingga tiga darjah, dan rekod paling banyak sebuah rumah terpesong kiblat hingga 45 darjah.

Zulkifli berkata, menghadap kiblat adalah salah satu daripada syarat sah solat sama ada ada solat fardu, solat qada dan solat solat sunat pada waktu selain solat sunat ketika musafir dan solat khauf (keadaan sangat takut).

“Sesiapa yang memulakan solat dalam keadaan tidak menghadap kiblat maka tidak sah solatnya manakala sesiapa yang beralih daripada kiblat ketika solat secara sengaja maka batallah solatnya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) Selangor, Mohd Dailami Che Age berkata, dalam Islam menghadap ke arah kiblat adalah tuntutan syariah dalam melaksanakan ibadat tertentu dan wajib dalam mengerjakan solat serta menguburkan jenazah Islam.

“Jika tidak tahu salah dan solat berpandukan kompas dan makluman orang tempatan jadi tidak perlu qada.

“Tak perlu qada, orang yang tidak tahu arah kiblat boleh guna ijtihadnya sendiri arah yang mana perlu solat, jadi ijtihad itu sah dan tidak perlu qada,” katanya.

Berita berkaitan

40% rumah terpesong arah kiblat [METROTV]

Disiarkan pada: July 17, 2019 @ 6:28pm