mutakhir

Rujuk kenyataan sudah dikeluarkan - Dr Maszlee [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

RUJUK kenyataan yang sudah dikeluarkan. Demikian jawapan ringkas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung fenomena menghisap rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah hingga berada pada tahap membimbangkan apabila ada yang ketagih.

Maszlee yang diajukan soalan mengenai isu panas terbabit enggan memperincikan perkara itu biarpun ditanya wartawan mengenai usaha dilakukan kementerian bagi mengekang gejala berkenaan di sekolah.

Beliau yang selesai merasmikan Pertandingan Tun Fatimah i-Challenge di Dewan Bestari Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru mahu bergegas pulang ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan dijadualkan pada jam 11 pagi.

Ruang terhad bersama wartawan untuk sesi sidang media bagaimanapun gagal mendapatkan komen langsung berhubung isu rokok elektronik.

“Kenyataan sudah dikeluarkan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan baru-baru ini. Sila rujuk pada pernyataan terbabit,” katanya dalam jawapan ringkas.

Harian Metro hari ini melaporkan pendedahan mengejutkan apabila ada kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah dikesan ketagih menghisap rokok elektronik atau vape.

Kewujudan pelbagai jenis vape bersaiz kecil antaranya berbentuk pen, jam tangan, pemetik api, pemacu pena hingga ada antaranya bersaiz sebesar kotak mancis antara punca vape menjadi kegilaan baru murid serta pelajar sekolah.

Bapa pelajar yang juga Naib Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah di bandar raya ini, Shamsudin Baharon, 46, berkata, aktiviti tidak sihat itu terbongkar hasil pemeriksaan mengejut guru terhadap pelajar sekolah menengah berkenaan.

Beliau berkata, soal siasat mendapati ada pelajar membawa peralatan vape ke sekolah dan menggunakannya di tandas bagi mengelakkan dihidu guru.

Menurutnya, malah ada antara mereka juga dikenal pasti membekalkan peralatan berkenaan kepada rakan lain.

Guru yang prihatin berjaya mengesan aktiviti berkenaan apabila ada segelintir daripada mereka kerap ke tandas pada waktu pembelajaran.

Sebaik menjalankan pemeriksaan mengejut di tandas, mereka mendapati lokasi itu menjadi markas pelajar menghisap vape.

Menurutnya, beberapa peralatan e-rokok ditemui termasuk nano stick vape, perisa dan pelbagai alat vape dengan saiz berbeza.

Shamsudin berkata, pemeriksaan mendapati kumpulan pelajar terbabit ketagih dalam penggunaan vape sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, lebih mengejutkan, segelintir pelajar mengakui adik-beradik mereka turut ketagih e-rokok.

Sebelum ini Kementerian Pendidikan mempergiatkan kempen bagi membendung penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, kementerian melalui Bahagian Sekolah Harian bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan bekerjasama bagi menjayakan usaha berkenaan.

Berita berkaitan

Budak berasap

Disiarkan pada: July 20, 2019 @ 11:15am
d