mutakhir

'Mak kejut, angkat saya lari'

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

“MAK (Norazilah Abdullah, 23) kejut suruh bangun dan lari sebab rumah terbakar. Mak kemudian angkat saya lari ikut pintu belakang selamatkan diri.

“Masa itu saya tengah tidur, saya tak tahu abang sepupu ada tidur di bilik lain,” kata Muhammad Alif Asyraf Syed Azman, 6, kanak-kanak yang terselamat dalam kejadian kebakaran empat rumah di perkampungan Sungai Isap 2, Kuantan, pada 7.45 pagi, hari ini.

Kejadian turut mengorbankan tiga beranak dan mengakibatkan empat yang lain cedera.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dan dua anaknya Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, dan Muhamamd Adam Daniel, 7.

Mereka yang cedera adalah Norazilah Abdullah, 23, suaminya, Syed Azman Syed Kassim, 25, adik Norazilah, Nor Syawalina, 19, serta suami kepada Sharifah Azlina, Hairol Khalid, 38.

Menurut Muhammad Alif Asyraf, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga lain sedang tidur sebelum melihat api marak menyambar rumah mereka.

Katanya, ibunya, Norazilah cedera selepas ditimpa kayu ketika cuba menyelamatkan diri dan membawanya keluar.

“Emak sekarang ada di HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) dengan ayah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, menurut saksi kejadian, Abdul Rahim Othman, 59, dia mendengar jeritan anaknya yang melihat kebakaran rumah jiran mereka sebelum menghubungi pihak bomba.

“Masa itu saya baru balik dari surau dan anak jerit kata rumah jiran terbakar saya segera lihat dan bantu beberapa mangsa keluar... ada yang sempat lari ikut pintu belakang rumah.

“Saya tidak tahu ketika itu ada lagi mangsa berada di dalam rumah. Terkilan sebab tidak dapat selamatkan mereka,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Abdul Rahim berkata, dua jentera bomba tiba beberapa minit kemudian bagi mengawal kebakaran dan mangsa yang cedera dibawa ke hospital.

Berita berkaitan

[UPDATE] Identiti 3 beranak dikenal pasti

Tiga beranak maut

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 12:57pm
d