mutakhir

Polis tunggu laporan SPRM

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS Selangor menunggu laporan penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum sebarang tindakan diambil ke atas anggotanya yang ditahan atas dakwaan rasuah.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya masih menunggu laporan SPRM susulan penahanan anggota polis bagi membantu siasatan berkaitan rasuah.

“Selepas menerima laporan itu barulah kita boleh mengambil tindakan selanjutnya ke atas mereka (anggota polis).

“Setakat ini kita masih belum diberitahu sama ada benar mereka terbabit rasuah atau tidak dan tunggu siasatan SPRM terlebih dulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan timbalan pendakwa raya ditahan SPRM kerana membantu membebaskan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sepatutnya dihantar ke Depot Tahanan Imigresen.

Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Sumber berkata, ketika ditahan SPRM turut menemui wang tunai RM82,500 daripada lelaki itu dipercayai diperoleh daripada hasil rasuah.

Tangkapan terhadap seorang peguam turut menemui wang tunai RM17,500.

Selain itu, turut ditahan enam anggota polis bertugas sebagai pegawai penyiasat jenayah di daerah Hulu Selangor dan anggota polis pengiring lokap mahkamah.

Bagaimanapun mereka dilepaskan dengan jaminan selepas direman lima hari bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

Reman TPR, peguam disambung

Majistret reman hakim

SPRM tahan Hakim Mahkamah Sesyen

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 11:35pm
d