mutakhir

Warga emas hilang rupanya lemas

Oleh Ramli Ibrahim

LELAKI warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah sejak Sabtu lalu, ditemui lemas di Sungai Lebir, Gua Musang, tengah hari ini.

Mayat Idris Che Din, 81, ditemui terapung di sungai berkenaan pada 12 tengah hari oleh penduduk kampung yang melancarkan gerakan mencari menggunakan bot sejak 10 pagi.

Anak mangsa, Fatimah, 27, berkata sebelum itu, penduduk kampung menemui kain pelikat bersama selipar yang ditinggalkan ayahnya berdekatan sungai.

Katanya, berikutan itu penduduk mengesyaki ayahnya menuju ke Sungai Lebir yang terletak 13 kilometer dari rumah mereka.

“Sebaik penduduk ke sungai berkenaan, mereka tidak menemui ayah menyebabkan orang kampung menggunakan bot untuk menyusuri sungai itu sebelum mayat ayah ditemui dalam keadaan terapung.

“Abang saya yang turut sama dalam gerakan mencari itu memaklumkan mengenai kejadian itu kepada adik beradik yang berada di rumah.

“Apa yang berlaku mengejutkan kami sekeluarga kerana besar harapan kami ayah pulang dalam keadaan selamat, namun rupanya dihanyutkan arus sungai,” katanya ketika ditemui di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Lebir, hari ini.

Idris adalah peneroka yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di RKT KESEDAR Lebir pada 3 petang Sabtu lalu.

Kejadian itu pertama kali berlaku kerana sebelum ini Idris pernah keluar rumah berjalan seorang diri, tetapi pulang semula ke rumah dalam keadaan selamat.

Anak sulung mangsa, Zuriana, 46, berkata, dia terkejut apabila adiknya mengatakan ayah mereka ditemui lemas.

Katanya, arwah ayahnya memang berperangai pelik sejak kebelakangan ini termasuk selalu memarahi anak yang menghalangnya keluar rumah.

“Malah, ayah sempat memberitahu jiran pada hari kejadian bahawa dia nak pergi jauh dari rumah dan kami tidak sangka kata-katanya itu mengandungi maksud tersirat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat warga emas itu di Sungai Lebir.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir.

Berita berkaitan

'Pulanglah ayah...'

'Di mana Pak cik Idris?'

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 5:41pm
d