mutakhir

Kaji semula SOP selenggara lif

Oleh Nor Akmar Samudin

KAJI semula prosedur operasi standard (SOP) penyelenggaraan lif di semua pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi mengelak kejadian berulang.

Jaminan itu diberikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin susulan kejadian lif terhempas di PPR Kerinchi, semalam.

Katanya, pihaknya akan menilai semula aspek penyelenggaraan selain bekerjasama dengan agensi lain yang bertanggungjawab.

“Sehingga kini SOP mengenai lif dikendalikan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia dan kami mengambil inisiatif membantu agensi itu.

“Ini termasuklah mengkaji semula SOP untuk memperketatkan lagi penguatkuasaan undang-undang sedia ada atau memantau sama ada prosedur itu dilaksanakan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan ‘Little River Festival 2019’ di Taman Melawati, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian semalam, lapan daripada sembilan penduduk cedera selepas lif terhempas daripada tingkat lima.

Zuraida berkata, pihaknya juga akan melaksanakan program pemerkasaan lebih intensif bagi penduduk PPR melalui Dasar Komuniti Negara untuk memperbaiki kehidupan rakyat di kediaman itu.

“Mereka perlu lebih diberi kesedaran untuk baiki kualiti hidup dan ini akan dilaksana dengan program tertentu yang lebih berfokus, ” katanya.

Sementara itu, bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kebersihan, Zuraida berkata, pihaknya akan melancarkan kempen Budaya Berani Menegur.

“Hanya dengan pembabitan sekurang-kurangnya 10 peratus rakyat Malaysia yang berani menegur, saya percaya ia sudah boleh menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih.

“Jika adanya kempen ini, rakyat Malaysia yang nak tegur pun tak segan dan orang yang kena tegur pun tak boleh marah.

“Kita harap media boleh menguar-uarkan untuk memastikan negara kita bersih, udara segar yang boleh menaikkan imej Malaysia sebagai negara progresif, ” katanya.

Berita berkaitan

Lif menggelongsor laju

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 1:53pm
d