mutakhir

Lif berhenti mengejut, bukan terhempas

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SIASATAN awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati lif di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi tidak terhempas, sebaliknya berhenti secara mengejut.

Ketua Pengarah JKKP Omar Mat Piah berkata, lif itu berhenti di ‘pit’ terletak kira-kira dua meter daripada penampan bawah tanah.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati tali sawat lif berada dalam keadaan baik, sistem lif juga berfungsi dengan baik termasuk brek.

“Lif berkenaan tidak terhempas, sebaliknya berhenti mengejut di tingkat bawah PPR berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas tinjauan di PPR Kerinchi, hari ini.

Omar berkata, sekiranya lif terhempas, penampan yang terletak dua meter di bawah tanah akan terjejas.

“Bagaimanapun, dalam kejadian itu, lif tidak sampai ke penampan. Jika ia terhempas, sudah pasti akan sampai ke penampan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati lif berkenaan berusia 12 tahun dan diselenggara dengan baik oleh kontraktor dilantik,” katanya.

Menurutnya, setiap kontraktor penyelenggaraan lif perlu kompeten dan mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan selain diwajibkan membuat pemeriksaan sekurang-kurangnya 15 bulan sekali.

“Jika gagal berbuat demikian, tindakan tegas boleh diambil termasuk kompaun,” katanya.

Berita berkaitan

Lif menggelongsor laju

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 2:30pm
d