mutakhir

[UPDATE] Lambaian terakhir

Oleh Rosman Shamsudin

“KETIKA berselisih menunggang motosikal di kampung, semalam, saya dan Hafidz hanya sempat melambaikan tangan dan tak sangka hari ini dia pergi buat selamanya,” kata Mohd Suhaimi Md Said, 61, jiran sekampung kepada pemandu ambulans, Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 368.3 Lebuhraya PLUS arah selatan, berhampiran Slim River, awal pagi tadi.

Mohd Suhaimi berkata, mangsa sudah tiga tahun menyewa di Kampung Jaya, di sini, dan mempunyai tiga anak perempuan masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim di tahun satu, dua dan lima .

Katanya, dia sering minum di kedai bersama arwah tetapi semalam hanya sempat melambaikan tangan disebabkan kesibukan kerja seharian.

“Arwah berasal dari Baling, Kedah dan isterinya berasal dari FELDA Gunung Besout 4 dan difahamkan arwah bercadang pulang ke Baling hari ini kerana sudah mengambil cuti untuk menziarah keluarga.

“Petang semalam, ramai rakan isteri arwah berada di rumah untuk minum petang dan maklumkan arwah kelihatan tidak duduk diam ke hulu, hilir seperti keresahan. Tak sangka pula ini petanda dia akan pergi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, arwah memang seorang peramah dan mudah mesra dengan orang ramai di kampung itu dan kehilangannya sudah pasti dirasai.

Sementara itu, Mohamad Wahid, 64, iaitu jiran kepada pesakit maut, Azizah Dollah, 66, berkata arwah tinggal di FELDA Gunung Besout 2 dan sudah 36 tahun mengenali arwah.

Katanya, arwah sebelum ini mengidap penyakit kencing manis dan dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit.

“Dulu arwah memang aktif dalam aktiviti penduduk tetapi selepas sakit, dia sering duduk di rumah sahaja.

“Saya terkejut menerima berita kematiannya kira-kira 10 pagi tadi dan mendoakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Berita berkaitan

Tayar pecah punca kemalangan

Pemandu dan pesakit maut ambulans terbabas

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 1:28pm
d