mutakhir

159 anggota SAR cari Nora Anne

Oleh Hasbi Sidek

POLIS menambah kekuatan anggota dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland yang hilang sejak pagi semalam di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, keluasan kawasan pencarian juga dibesarkan membabitkan kawasan hutan dan penempatan penduduk.

“Hari ini kami menambah kekuatan untuk operasi SAR. Berbanding semalam, kekuatan bertambah menjadi 119 membabitkan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) dan penduduk tempatan.

“Untuk hari ini juga, kami mendapatkan bantuan satu platun pasukan dari Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras menjadikan jumlah keseluruhan 159 petugas,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Pantai, hari ini.

Mengulas mengenai keluasan kawasan pencarian, beliau berkata, semalam pihaknya sudah melakukan operasi di kawasan seluas 4.9 hektar dan untuk hari ini kawasan akan diperluaskan.

“Pasukan dari PGA, JPNS dan Orang Asli akan memberi tumpuan di hutan, manakala selebihnya melakukan operasi di penempatan penduduk dan sekitar Pantai,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menemui remaja berkenaan di mana-mana lokasi atau premis supaya menyalurkan maklumat kepada polis untuk tindakan lanjut.

Harian Metro malam tadi melaporkan remaja warga Ireland yang mengalami masalah pembelajaran hilang dari tempat penginapan keluarganya di sebuah resort di Pantai.

Keluarganya hanya menyedari kehilangan Nora Anne Quoririn, 15, jam 8 pagi semalam.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 2:45pm
    d