mutakhir

'Syarikat boleh dibatalkan lesen'

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SYARIKAT pelancongan haji dan umrah yang menyebabkan 26 jemaah haji rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah berdepan kemungkinan pembatalan lesen syarikat jika didapati bersalah dan melanggar peraturan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pihaknya akan memanggil syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan dalam masa terdekat.

“Saya akan menyiasat syarikat ini dan kalau mereka berdaftar dengan kementerian, kita akan panggil pemilik dan tanya mengapa perkara ini boleh berlaku.

“Kalau lesen yang diberi kepada syarikat ini disalah guna, kemungkinan besar kita akan batal lesen,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, pembatalan lesen adalah bertujuan memberi pengajaran kepada mana-mana agensi pelancongan supaya tidak sewenang-wenangnya menyusahkan sesiapa yang ingin menunaikan haji atau umrah.

Katanya, walaupun difahamkan syarikat terbabit menggunakan khidmat orang tengah untuk menguruskan visa, mereka sepatutnya melakukan secara terus dan bukan menerusi orang ketiga.

“Apabila kita lulus lesen syarikat, ini adalah supaya mereka mengendalikan secara direct (terus) dan bukannya pakai orang tengah.

“Ini menunjukkan satu kegagalan syarikat itu kerana tidak mahu urus sendiri dan pakai orang tengah pula,” katanya.

Semalam media melaporkan, 26 rakyat Malaysia yang kononnya menerima visa Furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah selepas imigresen Arab Saudi mendapati nama mereka tiada dalam senarai visa haji.

Menerusi laporan itu, mereka datang dalam satu kumpulan menaiki penerbangan komersial dari KLIA sebelum tiba di Jeddah, jam 7 malam kelmarin.

Kesemua rakyat Malaysia itu tiba di tanah air jam 11.03 pagi hari ini menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH151.

Berita berkaitan

Sanggup bayar caj tambahan RM7,000

[UPDATE] Nama sendiri, muka orang lain

Syarikat dah buat laporan polis

26 bakal haji terkandas di Jeddah

Disiarkan pada: August 7, 2019 @ 6:56pm
d