mutakhir

Solat hajat untuk Nora Anne esok

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MASJID Kariah Pantai di Seremban akan mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat esok, bagi memohon dipermudahkan operasi mencari dan menyelamat remaja perempuan warga Ireland yang hilang sejak Ahad lalu.

Imam masjid, Kahar Sukin berkata, setakat ini belum ada permintaan daripada mana-mana pihak, namun pihaknya mengambil inisiatif sendiri untuk berbuat demikian.

Katanya, ia sebagai salah satu ikhtiar yang boleh dilakukan pihaknya dalam membantu pihak keselamatan menemui semula remaja itu.

“Walaupun mangsa berlainan agama, tetapi kita boleh melakukannya atas dasar kemanusiaan.

“Malah, saya sendiri sudah dijemput untuk melaungkan azan di resort berkenaan pada hari pertama mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan di Seremban, hari ini.

Kahar yang 12 tahun menjadi imam berkata, ia kejadian kali pertama kes orang hilang terlalu lama dan beliau mendoakan remaja itu ditemui semula dalam keadaan selamat.

“Sebelum ini pernah berlaku kes orang hilang di Gunung Berembun yang terletak berhampiran resort itu tetapi biasanya sehari dah jumpa berbeza kes kali ini yang sudah lima hari hilang.

“Pelbagai andaian dibuat orang ramai ketika ini, tetapi sebagai orang Islam kita perlu mendoakan yang terbaik,” katanya yang turut tidak menolak kemungkinan wujud unsur mistik dalam kes itu.

Nora Anne Quoirin, 15, dilaporkan hilang pada Ahad lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar menyarankan orang ramai membantu dengan apa juga cara, termasuk mengadakan solat hajat atau mengikut cara agama masing-masing supaya operasi pencarian remaja itu berjaya.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 3:14pm
    d