mutakhir

Solat hajat semoga Nora Anne ditemui [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

KIRA-KIRA 300 jemaah menunaikan solat hajat di Masjid Kariah Pantai, Seremban, hari ini bagi mendoakan supaya remaja warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak Ahad lalu dijumpai segera.

Solat hajat itu disempurnakan sejurus selesai solat Jumaat yang diimamkan Imam Dua masjid berkenaan, Mohd Taufeek Awalludin.

Mohd Taufeek ketika ditemui sejurus solat hajat berkata, remaja istimewa seperti Nora Anne sepatutnya diberikan perhatian penuh berbanding remaja biasa.

“Operasi untuk mencari remaja ini lebih rumit kerana dia (Nora Anne) adalah remaja istimewa. Bagaimanapun kita mendoakan pasukan yang terbabit dalam operasi mencari remaja ini segera menemuinya.

“Justeru hari ini kira-kira 300 jemaah menunaikan solat hajat supaya diberi petunjuk dan menemui Nora Anne,” katanya.

Beliau berkata, meskipun ibu- bapa Nora Anne berlainan agama dan pegangan, namun dia berharap keluarga berkenaan bersabar menempuhi dugaan itu.

“Pihak masjid berharap keluarga Nora Anne bersabar dengan ujian ini dan percaya setiap berlaku itu adalah kehendak Allah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak masjid kerana melakukan solat hajat itu.

“Semoga Allah memberkati usaha kami dan semoga Nora Anne ditemui segera,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Disiarkan pada: August 9, 2019 @ 2:52pm
    d