mutakhir

Cuba cara Orang Asli cari Nora Anne

Oleh Hasbi

Gambar Iqmal Haqim & Adzlan Sidek

PENDUDUK Orang Asli di sekitar lokasi kehilangan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dekat Pantai, Seremban merancang menggunakan kaedah kepercayaan mereka dalam usaha membantu mengesan remaja itu.

Tok Batin Kampung Kolam Air Pantai, Ali Ngogor berkata, ia bertujuan memohon supaya remaja yang mengalami masalah lembam itu segera ditemui dan dalam keadaan selamat.

“Kalau boleh kami cuba cara orang kami (suku asli). Kami hanya boleh ikhtiar kerana berjaya atau tidak, itu adalah ketentuan tuhan.

“Ini (kaedah yang digunakan) rahsia. Kita belum buat lagi sebelum ini,” katanya kepada ketika ditemui di Seremban, hari ini.

Ali berkata, penduduk dalam kalangan Orang Asli di sekitar lokasi turut aktif menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu sejak beberapa hari lalu, namun tidak menemui sebarang petunjuk positif.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim turut menasihatkan penduduk setempat yang menjumpai mangsa supaya segera menghubungi pihak berkuasa.

“Saya ada melawat perkarangan resort pagi tadi dan saya lihat mereka (pasukan SAR) masih lagi menggiatkan kerja pencarian.

“Saya ambil inisiatif dengan masyarakat orang asli untuk bersama membantu mencari mangsa yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.

“Cara dia (Nora Anne) hilang agak aneh juga sebab sepatutnya bukan susah untuk cari di kawasan berdekatan penempatan orang lain,” katanya.

Nora Anne yang sedang bercuti dengan keluarganya di negara ini dilaporkan hilang dari tempat penginapan di sebuah resort di Pantai, di sini, sejak pagi Ahad lalu yang kini sudah masuk hari ketujuh.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 3:29pm
    d