mutakhir

Usah bahayakan nyawa orang lain - PLUS

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung kejadian yang menyebabkan seorang pengguna lebuh raya itu kehilangan nyawa, semalam.

PLUS dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelakuan agresif yang membahayakan nyawa pengguna.

Katanya, PLUS melahirkan rasa sedih dan kesal atas insiden berlaku di KM293.5 (Arah Selatan) berhampiran Persimpangan Southville City, semalam yang menyebabkan kehilangan nyawa seorang pengguna.

“Syarikat PLUS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang berkelakuan agresif dan membahayakan pengguna lebuh raya.

“Justeru itu, pihak pengurusan bersedia memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, PLUS menasihatkan agar pengguna untuk menghubungi pihak polis atau membuat laporan di balai polis berhampiran sekiranya terbabit dalam kemalangan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dan suspek berusia 40 tahun selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.

Difahamkan kereta Syed Muhammad Danial melanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar mengejar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.

Menurutnya, berlaku pergaduhan antara suspek sebelum mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati keluar dari kenderaannya dengan membawa kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Suspek yang kemudian menekan pedal minyak dalam keadaan tergesa-gesa terlanggar Syed Muhammad Danial.

Kejadian itu menyebabkan Syed Muhammad Danial tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan sebelum dikejarkan ke Nilai Medical Centre oleh orang awam.

Berita berkaitan

Air mata Qistina iringi pemergian suami

'Kenapa perlu hingga meragut nyawa?'

Provokasi jadi punca... [METROTV]

Kenapa la tak bincang elok-elok...

Disiarkan pada: August 11, 2019 @ 7:00pm
d