mutakhir

Media ikut SAR Nora Anne [METROTV]

Oleh BERNAMA

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, memasuki hari ke-10 hari ini sejak gadis itu dilaporkan hilang daripada sebuah resort di Pantai, Seremban pada 4 Ogos lalu.

Keberadaan dan nasib remaja itu terus menimbulkan tanda tanya bukan saja dalam kalangan masyarakat, bahkan juga kepada pengamal media tempatan dan antarabangsa yang berkampung di lokasi kejadian sejak hari pertama Nora Anne dilaporkan hilang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar dalam kenyataan ringkas di aplikasi WhatApps memberitahu media yang mereka dibenarkan mengikuti petugas Op SAR buat kali kedua selepas pelawaan pertama dibuat semalam.

“Anda hendaklah melapor kepada Inspektor Harminder di substek (khemah pusat operasi SAR). Adalah diingatkan risiko keselamatan adalah tanggungjawab sendiri,” katanya ringkas.

Operasi bagi mengesan Nora Anne setakat semalam membabitkan 353 anggota, pasukan SAR terbesar setakat ini dengan sidang media akan perkembangan pencarian hari ini dijangka diadakan pada 5 petang ini.

Nora Anne disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Semalam, ibu kepada remaja istimewa itu, Meabh Jaseprine Quoirin, 46, menawarkan wang ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga anaknya itu ditemui.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 9:38am
    d