mutakhir

Tayar ambulans tak ikut spesifikasi

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KONGRES Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendedahkan kemungkinan tayar yang digunakan ambulans yang terbabit kemalangan 4 Ogos lalu tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Bukan itu saja, rekod penyelenggaraan kenderaan terbabit turut dipersoalkan kerana ia menjadi antara punca kejadian yang mengorbankan seorang pemandu dan pesakit.

Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai keadaan tayar yang merekah walaupun baru dua tahun digunakan dan ia memang tidak sepatutnya berlaku.

“Kita berasa kesal dengan apa yang berlaku. Difahamkan tayar yang digunakan seolah-olah bukan tayar tulen berdasarkan keadaan selepas kemalangan.

“Kejadian menyebabkan mereka meninggal dunia, meninggalkan anak isteri dan keluarga yang hilang tempat bergantung.

“CUEPACS juga meminta maaf kepada keluarga atas apa yang berlaku dan kita minta KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) memberikan penjelasan atas apa yang berlaku,” katanya ketika sidang media di Wisma CUEPECS, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kejadian di Kilometer 368.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Slim River itu, pemandu ambulans terbabit, Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37, dan pesakit, Azizah Dolah, 66, yang beralamat di FELDA Gunung Besout 2, Sungkai maut selepas tayar kenderaan berkenaan pecah sebelum melanggar pembahagi jalan.

Azih berkata, pihaknya menggesa KKM melihat semula rekod penyelenggaraan agar kejadian sama tidak berulang pada masa depan.

Selain itu, CUEPACS juga menggesa syarikat konsesi yang dilantik untuk menyelenggara ambulans terbabit mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

“Kita juga minta bayaran pampasan kepada keluarga disegerakan. Buat masa ini, kita difahamkan ia dalam proses tetapi masih di peringkat awal.

“Kita minta dipercepatkan untuk membantu keluarga,” katanya.

Menurut Azih, pihaknya menerima banyak aduan mengenai isu ambulans yang tidak diselenggara dengan baik dan bimbang mengenai keselamatan terhadap pengguna keseluruhannya.

“Kita bercakap hari ini isu tayar, kami juga terima mengenai ambulans yang terbakar dalam stor dan lain-lain. Justeru kita minta ia dilihat semula kerana membabitkan nyawa.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pemandu-Pemandu Kementerian Kesihatan Semenanjung Malaysia Harun Tak Abdullah berkata, pihaknya berharap nasib pemandu ambulans selepas ini diberi perhatian sewajarnya pihak berkaitan.

Menurutnya, aspek keselamatan ambulans tidak ada kompromi walaupun pemandu sudah menjalankan tugas diamanahkan sebaik mungkin.

“Arwah Mohd Hafidz sudah turun periksa keadaan tayar kerana berasa sesuatu. Lima kilometer sebelum tiba ke destinasi, tayar itu meletup menyebabkan ambulans terbalik.

“Kami bukan saja hilang rakan sekerja tetapi berkongsi kesedihan keluarganya kerana kami juga melalui rutin yang sama setiap hari,” katanya.

Untuk rekod, terdapat lebih 3,000 pemandu ambulans yang menjadi ahli kesatuan di seluruh semenanjung Malaysia.

Berita berkaitan:

  • Pemandu dan pesakit maut ambulans terbabas
  • Tayar pecah punca kemalangan
  • Disiarkan pada: August 15, 2019 @ 2:28pm
    d