mutakhir

Nafi terlepas pandang kes Nora Anne

Oleh Azzman Abdul Jamal

POLIS menafikan laporan media antarabangsa yang mendakwa pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin terlepas pandang beberapa petunjuk penting hingga menyebabkan mereka gagal menemui remaja Ireland berusia 15 tahun itu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, sepanjang operasi SAR, pihaknya bukan saja menumpu kepada usaha pencarian mangsa malah turut melaksanakan siasatan daripada semua sudut.

Katanya, laporan yang dikeluarkan media antarabangsa itu dikhuatiri memetik sumber yang tidak sahih kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Tidak benar, kami setakat ini tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu. Ia tidak sahih.

“Namun begitu, siasatan berhubung kes Nora Anne masih diteruskan dan pihak polis kini sedang menunggu laporan penuh hasil bedah siasat sebelum ia dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Perasmian Penutup Pertandingan Kawad Kor Kadet Polis Kontinjen Negeri Sembilan 2019 di Sekolah Latihan Kontinjen, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Terdahulu, sebuah portal media United Kingdom (UK) melaporkan polis Malaysia mengakui pasukan SAR terlepas beberapa petunjuk penting ketika pencarian gadis Ireland yang mengalami masalah lembam itu sejak dilaporkan hilang 4 Ogos lalu.

Kegagalan itu dikatakan menyebabkan Nora Anne gagal diselamatkan dan mayatnya ditemui pada hari ke-10 operasi SAR di kawasan lurah berhampiran anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya sekeluarga.

Dalam perkembangan lain, Che Zakaria mengesahkan enam anggota polis Negeri Sembilan kini disiasat selepas didapati positif dadah ketika diperiksa menerusi Ops Blue Devil yang dijalankan di seluruh negara sejak minggu lalu.

“Di Negeri Sembilan enam anggota positif pelbagai jenis dadah. Siasatan masih dijalankan untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menyatakan tindakan lanjut akan diambil IPK negeri bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 5:44pm
    d