mutakhir

Maut sebelum sempat sertai Qiamullail

Oleh Garret Dawum

HASRAT seorang kanak-kanak untuk menyertai program mingguan Qiamullail di kampungnya tidak kesampaian apabila maut selepas basikal ditunggangnya dirempuh kereta di Kilometer 3 Jalan Datuk Muhd Musa, Kota Samarahan, 10.30 malam tadi.

Seorang peserta program, Mohd Khairi Kassim, 27, berkata ketika kejadian dia bersama anak muda dari Kampung Sindang sedang membuat persiapan sementara menanti peserta lain datang.

“Ketika berada di dalam masjid Darul Ikhlas Kampung Sindang, kami terdengar bunyi rempuhan sebelum berlari keluar.

“Saya terkejut melihat seorang kanak-kanak berlumuran darah dan dipangku kakaknya sambil menangis teresak-esak. Saya mendekatinya dan terus mengangkatnya untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Arif Fahmi Cassidy, 10, yang berasal dari Kampung Sindang disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 6.20 pagi.

Mohd Khairi berkata, sebelum kejadian Arif Fahmi dalam perjalanan ke rumahnya bersama kakaknya berusia 12 tahun dan sepupu lain selepas latihan silat.

“Mereka sebenarnya akan mengikuti program Qiamullail dianjurkan pemuda kampung. Saya tidak sangka, kejadian itu akan menimpa dirinya.

“Jenazah Arif Fahmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sindang sebelum Zuhur, hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mangsa menerima rawatan awal di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (PJHUS) sebelum disahkan meninggal dunia di HUS akibat parah di kepala.

“Pemandu kereta Perodua Myvi berusia 33 tahun itu tidak cedera dan hasil siasatan awal, pemandu berkenaan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Taman Desa Ilmu dari pejabat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Samarahan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu berkenaan ternampak sekumpulan penunggang basikal terdiri daripada empat hingga lima orang beriringan dari arah sama.

“Ketika menghampiri kumpulan penunggang itu, tiba-tiba seorang daripadanya membuat pusingan U dan menghala ke arah keretanya.

“Pemandu itu cuba mengelak ke kanan tetapi gagal kerana ada kenderaan datang dari arah bertentangan. Akibatnya, Myvi bertembung dengan basikal terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

'Cuba elak tapi gagal'

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 5:19pm
d