mutakhir

Kebocoran gas ammonia: Calon UPSR dipindahkan

Oleh Nur Saliawati Salberi

SERAMAI 105 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di tiga sekolah berhampiran kilang pemprosesan ayam di Merlimau, Jasin yang mengalami kebocoran gas ammonia semalam, dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu, hari ini.

Pengarah Pendidikan Melaka, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, tiga sekolah itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan, SK Serkam Darat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Serkam yang terletak berhampiran kawasan kilang.

“Satu pusat peperiksaan baharu dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mahkota bagi menempatkan 79 calon dari SK Serkam Darat dan enam calon SJKT Ladang Serkam.

“Dalam pada itu, 20 calon dari SK Paya Redan pula ditumpangkan ke Pusat Peperiksaan di SK Paya Dalam,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Abu Bakar berkata, setakat ini pusat peperiksaan baharu itu kekal sehingga 12 September, bagaimanapun, sebarang perubahan akan dikemas kini pihaknya.

“Bagi murid Darjah Satu hingga Lima di kesemua sekolah yang terbabit pula, mereka diarahkan bercuti bagi mengelak sebarang keadaan tidak dijangka.

“Keputusan itu dibuat kerana ketiga-tiga sekolah ini terletak dalam radius kira-kira tiga kilometer dari kilang pemprosesan ayam terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kesemua murid tidak perlu hadir ke sekolah sehingga dimaklumkan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Kilang henti operasi sementara

Sesak nafas terhidu gas bocor [METROTV]

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 12:14am
d