mutakhir

Mejar Zahir syahid akhirat

Oleh Faliq Lajim

KEMATIAN Mejar Mohd Zahir Armaya selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu di Sabah hari ini tergolong dalam mati syahid akhirat.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, mati syahid dikategorikan dalam dua keadaan iaitu syahid dunia dan juga akhirat.

“Kematian Mohd Zahir dikategorikan sebagai syahid akhirat berikutan ia meninggal dunia ketika bertugas, sama seperti meninggal dunia dalam kebakaran dan juga lemas.

“Namun, insya-Allah kematiannya itu dapat keistimewaan, ada darjatnya dan mendapat rahmat daripada Allah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, kematian itu berbeza dengan syahid dunia di mana adalah untuk individu yang meninggal dunia ketika berperang dengan musuh demi memperjuangkan negara Islam.

“Sekiranya, syahid dunia, kematian mereka dijamin syurga dan tidak perlu dimandikan, tidak perlu dikafankan, tidak perlu disembahyangkan,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelawak dan pelakon veteran, A R Badul, 70, atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi.

Mohd Zahir meninggalkan seorang balu dan seorang anak termasuk dua anak daripada perkahwinan terdahulunya.

Berita berkaitan

Ini 'show' yang terakhir - Mejar Zahir

'Arwah sempat swafoto sebelum demonstrasi itu'

Seorang anggota tentera disiasat

TDM siasat Insiden komando mati tertembak

'Mesti disiasat, sepatutnya tak bocor'

Badul reda pemergian Mohd Zahir

Anak A R Badul mati tertembak

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 5:21pm
d