mutakhir

Ibu bayi maut direman tujuh hari

Oleh Rosli Ilham

POLIS mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari bagi menyiasat wanita yang dipercayai mendera anak kandungnya berusia tiga bulan hingga maut, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, wanita berusia 27 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini untuk mendapat perintah terbabit.

“Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Syukri dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 18 September ini.

“Perintah itu bagi membolehkan kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan bayi berusia tiga bulan, Median Sandra Mohd Saddle disahkan meninggal dunia dipercayai didera di sebuah rumah di Cheneh.

Kejadian itu disedari bapa bayi terbabit yang berusia 27 tahun ketika pulang ke rumah berkenaan untuk menghantar makanan kepada isterinya itu pada 10 pagi.

Bapa berkenaan menyedari anaknya itu berada dalam keadaan lemah sebelum mengejarkan bayinya itu ke Klinik Kesihatan Cheneh.

Pegawai Perubatan berusaha menyelamatkan bayi terbabit dengan bantuan kecemasan, namun bayi terbabit disahkan meninggal dunia.

Berita berkaitan

'Tiada tanda ibu bayi meroyan'

'Saya sudah hantar anak ke syurga'

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 8:11pm
d