mutakhir

Khalid Ismath bakal bebas, jaminan polis

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

BEKAS Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khalid Ismath yang ditahan kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, lelaki berusia 29 itu akan dibebaskan selepas keterangannya diambil.

Manakala, beberapa individu akan turut dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan polis menahan Khalid kerana dipercayai menghina Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di media sosial.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah.

Suspek ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di rumahnya di Klang, Selangor oleh tiga anggota dari Bukit Aman pada 10.30 malam semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Tunku Azizah menyahaktifkan akaun Twitter baginda hingga menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.

Berita berkaitan

Saya sedih dan marah - Tunku Azizah

Bekas Ketua Pemuda ditahan hina Agong dan Permaisuri

Kementerian akan keluar kenyataan rasmi [METROTV]

Tuanku... kembalilah

Akaun ditutup, netizen sedih

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 11:36am
d