mutakhir

Pulau Rawa bebas tompokan minyak [METROTV]

Oleh Ibrahim Isa

USAHA berterusan pelbagai agensi kerajaan selama tiga hari sejak Jumaat lalu membersihkan perairan dan pantai Pulau Rawa berjaya memastikan pulau peranginan itu bebas pencemaran.

Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan, Dickson Dollah berkata, hasil pemantauan pasukan pemantau dron yang dikejarkan ke Pulau Rawa semalam mendapati, pulau itu kini bebas pencemaran.

Malah katanya, tinjauan dan siasatan dilakukan pasukan ‘Melawan Tumpahan Minyak’ tidak menemui sebarang kesan sisa minyak baru di kawasan itu atau pantai Mersing.

“Saya yakin, kejayaan itu hasil tindakan pantas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kluang, Pejabat Daerah Mersing, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk tempatan yang bekerjasama membersihkan tompokan minyak di pantai dan perairan Pulau Rawa sejak ia dikesan, Jumaat lalu.

“Semalam, kami melakukan pemantauan menggunakan dron di kawasan perairan Pulau Rawa, namun tidak boleh menerbangkannya ke kawasan lebih luas berikutan laut bergelora dan angin kencang.

“Berikutan itu, kami terpaksa menghadkan penggunaan dron dan akan menggunakannya semula apabila cuaca sesuai,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, Jabatan Laut Wilayah Selatan membekalkan ‘absorbent boom’ untuk memerangkap sisa tumpahan minyak dipercayai Marine Fuel Oil yang biasanya dibuang kapal tangki melalui perairan berhampiran.

Katanya, sebanyak 100 beg sebatian minyak yang berjaya dikumpul dan dibersihkan dianggarkan berjumlah satu tan, akan dilupuskan.

“Ia jumlah agak besar dan pemantauan perlu dilakukan supaya tiada kapal sewenang-wenangnya mengambil kesempatan membuang sisa minyak ke kawasan perairan negara.

“Kesannya amat merbahaya kerana mengancam alam selain, sumber perikanan dan industri pelancongan negara, ” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan Jabatan Laut Wilayah Selatan mengumpul 100 beg berisi sisa tumpahan minyak di kawasan sepanjang kira-kira 800 meter di Pulau Rawa, Mersing, sejak ia dikesan, Jumaat lalu.

Tompokan minyak disedari penduduk sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa, selain terapung di permukaan laut tompokan turut mencemari kawasan perairan dan melekat di pantai pulau berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Siasat punca tumpahan minyak
  • Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 3:46pm
    d