mutakhir

PRK Tanjung Piai uji kekuatan PH, pembangkang

Oleh Hairulazim Mahmud

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan pasti menjadi tumpuan tidak lama lagi.

Ia bukan sahaja menjadi medan sebenar menguji kekuatan Pakatan Harapan (PH) malah gelanggang itu juga bakal menilai tahap pembangkang yang baharu sahaja mengumumkan Muafakat Nasional gabungan UMNO dan PAS dengan dipersetujui rakan-rakan Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC.

Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu menwaskan penyandang kerusi Parlimen itu iaitu Datuk Seri Wee Jeck Seng dengan memperoleh 21,255 undi.

Allahyarham berjaya merampas kerusi itu dari BN dengan majoriti 524 undi.

Calon PAS, Nordin Othman meraih 2,962 undi.

Atas kertas sekiranya dicampurkan jumlah undi BN dan PAS, mampu merampas kembali kerusi berkenaan daripada PH.

Namun, itu di atas kertas. BERSATU di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Penasihat dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pasti tidak akan membiarkan Muafakat Nasional tajaan UMNO-PAS terus ceria dengan kerjasama baharu mereka.

BERSATU pastinya meletakkan calon Melayu manakala pakatan PAS-UMNO mahu membuktikan bahawa kerjasama mereka mendapat sokongan bukan Melayu dengan ‘terpaksa’ mengekalkan kerusi itu kepada MCA.

Kawasan Parlimen Tanjong Piai mempunyai seramai 53,528 pengundi dengan pecahan kaum 56.80 peratus (Melayu), 41.64 peratus (Cina), 1.01 peratus (India) dan lain-lain kaum 0.55 peratus.

MCA mesti membuktikan bahawa mereka masih relevan dan mampu menarik kembali pengundi Cina kembali kepada BN.

Jika kalah lagi, parti itu boleh mempertimbangkan menyerahkan kerusi itu kepada calon UMNO atau PAS pada PRU akan datang.

Di media sosial pun sudah mula dimainkan sentimen VMF atau ‘Vote Muslim First’ sebagai sindiran kepada situasi ‘serba salah’ pakatan UMNO-PAS untuk menyokong calon MCA.

Manakala pembangkang nampaknya tiada pilihan selain mengekalkan calon bukan Melayu sebagai bukti mereka bukan kerjasama syok sendiri semasa Melayu.

Menurut Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff, BERSATU boleh mengenengahkan Ketua Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini yang juga anak jati kawawan berkenaan.

“Seorang arkitek lulusan Universiti Teknologi MARA dan paling penting bersuih dari kontroversi serta terbabit dengan BERSATU sejak awal penubuhannya,” katanya.

Katanya lagi, pada PRU-14 Karmaine ‘berkorban’ dengan bertanding di Parlimen Pontian melawan calon yang lebih kuat, Datuk Seri Ahmad Maslanbagi memberi laluan kepada Dr Md Farid.

“Beliau kalah dengan majoriti kecil sahaja dalam di Pontian iaitu 833 undi, menunjukkan beliau diterima oleh rakyat.

“Jika mahu dikatakan kekurangan beliau ialah sudah sedikit berusia, tetapi ini masa sama boleh membantu menarik undi pengundi berusia kepada BERSATU,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 8:08pm
    d