mutakhir

Ibu mengaku tidak bersalah bunuh bayi

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

WANITA yang dipercayai membunuh bayi perempuannya berusia tiga bulan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Tertuduh Nur Najihah Zulkiflee, 27, dari Kemaman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian anaknya, Medina Sandra Mohd Saddly di sebuah rumah di Felda Neram 2, Chukai, Kemaman pada 11.30 pagi 11 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 16 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kemaman.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 oleh ibu kandungnya.

Selain itu, tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bayi perempuan berusia tiga bulan maut dipercayai didera ibu kandungnya di sebuah kampung di Cheneh, Chukai, 11 September lalu.

Bayi terbabit yang berada dalam keadaan lemah dibawa bapanya ke Klinik Kesihatan di Cheneh namun disahkan meninggal dunia pada 11.30 pagi.

Berita berkaitan

Tiada kesan dera

'Tiada tanda ibu bayi meroyan'

'Saya sudah hantar anak ke syurga'

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 12:11pm
d