mutakhir

PRK medan uji penerimaan rakyat terhadap PH

Oleh Togi Marzuki

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dijangka menjadi lebih dramatik susulan penyatuan dua parti terbesar pembangkang Melayu, UMNO dan PAS, baru-baru ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub berkata, mereka (pembangkang) dijangka hanya memainkan isu perkauman dan fahaman agama melampau sebagai modal sepanjang kempen PRK itu kelak.

“Kami yakin isu ini menjadi pilihan UMNO dan PAS kerana tiada isu tempatan yang mampu mempengaruhi pemikiran pengundi.

“Sebagai pengarah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Johor, saya mengambil inisiatif menggerakkan jentera AMANAH bagi PRK Tanjung Piai dengan mengadakan mesyuarat peringkat pemimpin bahagian Tanjung Piai, malam tadi.

“Ia penting kepada kerajaan PH mahu menguji sejauh mana penerimaan rakyat selepas lebih setahun lapan bulan memerintah negara sejurus memenangi PRU-14, Mei lalu,” katanya pada sidang media khas persiapan AMANAH menjelang PRK Tanjung Piai di pejabat AMANAH Pontian, hari ini.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong berikutan penyandang, Datuk Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia akibat serangan jantung, Sabtu lalu.

Allahyarham yang juga Naib Ketua Bahagian BERSATU Tanjung Piai, memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru selepas menewaskan penyandang, Wee Jeck Seng (BN) dan calon PAS, Nordin Othman dengan majoriti 524 undi pada PRU-14.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) pada 2 Julai 2018.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian berkata, AMANAH menyerahkan kepada Majlis Presiden bagi menentukan calon yang akan bertanding pada PRK akan datang.

Bagaimanapun, katanya, secara tradisi kerusi Parlimen Tanjung Piai diserahkan kepada BERSATU kerana ia sebahagian daripada perjanjian dipersetujui sebelum ini.

“AMANAH mempunyai senarai calon berwibawa untuk diketengahkan sekiranya diberi peluang. Namun semuanya terpulang pada keputusan Majlis Presiden,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 6:29pm
    d