mutakhir

PRK Tanjung Piai: BN mohon diberi laluan

Oleh Togi Marzuki

PERMOHONAN dibuat UMNO Bahagian Tanjung Piai kepada pucuk pimpinan tertinggi parti supaya kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai digilirkan kepada parti itu.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jeffridin Atan berkata, permohonan itu berdasarkan sokongan padu daripada semua ketua cawangan.

“Mereka inginkan supaya kerusi Parlimen PRK Tanjung Piai digilirkan kepada UMNO iaitu parti Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Santai Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kedai Makan Farhan, Rimba Terjun, Pontian, hari ini.

Jeffridin berkata, beliau mengharapkan rakan parti komponen dalam BN boleh memikirkan perkara ini.

“Sokongan masyarakat sudah mula berubah apabila mereka merasai kelemahan ditunjukkan pihak kerajaan dan rasa tertipu.

“Kita sedar banyak peruntukkan pada PRK ini, memang lumrah mereka ada duit, tetapi sejauh manakah kebenarannya.

“Semua orang boleh cakap dalam keadaan negara yang tidak ada duit meminjam sana sini, tiba-tiba dalam PRK ini mereka hendak meluluskan pelbagai projek bernilai berjuta-juta ringgit dalam kawasan,” katanya.

Katanya, semangat pembangkang mahu memastikan kerajaan ini berniat jujur untuk membantu masyarakat dan berharap boleh menang dalam PRK ini.

Menurutnya, hasrat pihaknya untuk menjadi pembangkang berwibawa dan berkesan.

“Kalau penduduk dan masyarakat inginkan pembangunan seimbang dan berkesan perlu bijak membuat pilihan ketika PRK ini.

“Terbaharu, pada pagi ini, desas-desus, ramai presiden parti Pakatan Harapan (PH) mendakwa kalah awal, hairan adakah itu tanda simpati untuk membangkitkan semangat rakyat atau mereka benar-benar mengangkat bendera putih?,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, pentadbiran kerajaan kini banyak merugikan rakyat kerana pelbagai faktor.

Katanya, antara yang merugikan rakyat seperti pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditukar kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menurutnya, ini terbukti dengan kenyataan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendakwa mereka lebih suka memilih sistem GST untuk mengekspot barangan pengeluaran syarikat.

“Amat merugikan, pentadbiran kerajaan sekarang lebih tertumpu kepada langkah menjual aset dari mengumpul.

“Akibat sistem SST, kerajaan kerugian RM24 bilion setahun dan menganggap sistem itu langkah yang terkebelakang, ” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 4:06pm
    d