mutakhir

Siasatan polis amuk hampir selesai

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SIASATAN kes membabitkan pegawai polis yang dipercayai mengamuk dan melepaskan tembakan hingga terkena kaki anjing berpunca daripada pergaduhan dengan tunangnya di rumah di Taman Merdeka, Ipoh, Ahad lalu, hampir selesai.

Ketua Polis Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan hampir 90 peratus lengkap dan pihaknya dijangka akan menyerahkan kertas siasatan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri pada Isnin ini.

“Mungkin Isnin kita akan hantar kertas siasatan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk dirujuk dan dapatkan nasihat.

“Sekiranya masih ada perkara yang perlu dilengkapkan kita akan lengkapkan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, pegawai polis yang terbabit itu masih direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Pegawai direman selama tujuh hari sehingga 13 Oktober ini,” katanya.

Dalam kejadian 6.30 petang Ahad lalu, seorang polis berpangkat Inspektor ditahan selepas dipercayai mengamuk dan melepaskan tembakan berpunca daripada pergaduhan dengan tunangnya.

Suspek berusia 29 tahun yang sebelum ini bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh ditahan Unit Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, tujuh minit selepas kejadian itu berlaku.

Siasatan polis mendapati suspek tidak puas hati dengan tunangnya yang mahu memutuskan pertunangan sehingga mengakibatkan pergaduhan berkenaan.

Berita berkaitan

Mengamuk tunang 'minta putus'

Disiarkan pada: October 10, 2019 @ 10:47am
d