mutakhir

Belum ada bayaran balik wang 1MDB

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh dua minggu selepas penyerahan notis kompaun terhadap 80 individu dan entiti untuk menjelaskan semula bayaran wang berkaitan penerimaan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata, dalam tempoh itu juga terserah kepada mereka sama ada untuk membuat rayuan bagi pembayaran semula wang terbabit namun setakat ini pihaknya masih belum menerima wang itu.

Menurutnya, senarai yang dikemukakan SPRM baru-baru ini adalah bagi individu yang didakwa menerima RM500,000 dan ke atas namun masih belum muktamad.

“SPRM memberi keutamaan kepada jumlah yang lebih besar, manakala kriterianya adalah jumlah wang terbabit, bukan perkara lain.

“Kita tunggulah kerana kebanyakan mereka sudahpun diserah notis kompaun itu dan terserah kepada mereka ingin buat bayaran kepada SPRM cara bagaimana sama ada bayar secepat mungkin atau tunggu sehingga habis tarikh dua minggu itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media Sempena Ulang Tahun BPR/SPRM ke 52.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Latheefa berkata, penerima notis kompaun itu ketika ini ada yang tiada di dalam negara dan pihaknya menunggu individu terbabit pulang dan memulangkan semula wang itu.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya SPRM menggugurkan nama Mas Ermieyati beliau berkata, tiada isu SPRM memilih atau bermotifkan politik kerana pada fasa kedua ini pihaknya memilih mereka yang menerima amaun RM500,000 ke atas.

“Bagi kes RM500,000 ke bawah pula kita akan ke fasa tiga di mana pada fasa pertama dulu kita siasat wang yang diterima dan jika masih ada dalam akaun akan dibekukan,” katanya.

Pada sidang media di ibu pejabat SPRM Isnin lalu, Latheefa mendedahkan 80 individu dan entiti termasuk bekas Pengerusi CIMB Group,

  • Datuk Seri Mohamed Nazir Razak
  • , akan menerima notis kompaun kerana dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

    Notis kompaun terhadap semua pihak terbabit dikeluarkan mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

    Berita berkaitan:

  • 'Senarai belum muktamad'
  • Hanya bantu abang kempen - Nazir Razak
  • Ahmad Maslan nafi terima wang 1MDB
  • 1MDB: Nazir Razak individu terima dana terbanyak
  • 1MDB: 80 individu, entiti dapat notis kompaun [METROTV]
  • Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 5:53pm
    d