mutakhir

Patutlah berani semacam...

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

INDIVIDU membuat kenyataan berunsur penghinaan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador di media sosial, pada Isnin lalu, dikesan berada di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek yang berusia 38 tahun itu dipercayai bekerja sebagai juruteknik di luar negara.

Menurutnya, pihaknya sudah mempunyai butiran suspek dan keluarganya yang menetap di Lembah Klang.

“Hasil semakan mendapati dia sudah berada di luar negara sejak 2007. Bagi menjejakinya, kita akan bekerjasama dengan Interpol.

“Buat masa ini, kita menerima dua laporan polis berhubung kenyataan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Bukit Aman, di Kuala Lumpur , hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, polis sedang mengesan pemilik akaun Twitter, Navin Pillai yang memuat naik kenyataan menyamakan pasukan keselamatan itu dengan anjing di Twitter, Isnin lalu.

Dia juga membalas ciapan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berhubung isu pengganas dengan mengeluarkan kenyataan jelik dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, suspek turut memuat naik gambar Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan keterangan gambar ‘#petsatwork Anjing/Dogs and/bersama its Master/Tuhan’.

Berita berkaitan

Tunggu ya...polis dah cari

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 11:43am
d